Sanusi lepas bebas tuduhan hasut kait Sultan Selangor

SHAH ALAM: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berhubung satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah itu masih berdepan satu lagi kes menghasut, menyentuh Sultan Pahang yang ketika itu selaku Yang di-Pertuan Agong.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan satu kes hasutan terhadap Sultan Selangor dihadapi Sanusi, 50.

“Mahkamah memerintahkan Sanusi dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan hasutan terhadap Sultan Selangor manakala satu lagi kes terhadap Agong, ditetapkan untuk perbicaraan,” katanya, memetik Sinar Harian.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, ketika prosiding lalu, mahkamah menetapkan Selasa untuk keputusan representasi bagi dua kes yang dihadapi tertuduh.

Menurutnya, terdapat perkembangan baharu berhubung permohonan yang dikemukakan tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 24 hingga 28 Februari tahun depan.

Sementara itu, peguam pemerhati, Datuk Seri Salehuddin Saidin turut hadir, dalam prosiding bagi pihak Sultan Selangor.

Sebelum itu, Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama dikemukakan ahli politik PAS itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 September lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat