Syor RCI, Tun Mahathir dakwa bermotif politik

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya.

Bagaimanapun, beliau bersedia berdepan sebarang siasatan jenayah susulan RCI mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas beliau mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

“Jika ada sebarang siasatan ke atas saya, saya bersedia. Ya, ini adalah tindakan bermotifkan politik. Keseluruhan idea adalah untuk memusnahkan saya dan memanggil saya pengkhianat.

“Jika ini adalah pengkhianatan, maka seluruh anggota Kabinet (ketika itu) adalah pengkhianat, termasuk Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Selasa.

Turut hadir, dua peguamnya, Zainur Zakaria dan Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar yang dikongsi kepada pemberita, Tun Mahathir juga mempersoal kredibiliti tiga Pesuruhjaya yang mewakili RCI untuk menyiasat kes berkenaan.

“Tun Md Raus bin Sharif, Pengerusi RCI. Beliau mantan Ketua Hakim Negara yang mana saya telah saman sebelum saya menjadi Perdana Menteri ketujuh kerana pada saya beliau telah hilang kelayakkan menyandang tugas sebagai Ketua Hakim lepas tamat tempohnya.

“Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu. Peguam yang juga dilantik oleh Tan Sri Apandi Ali sebagai salah seorang ahli Pasukan Petugas Khas bagi Pulau Batu Puteh. Bagaimana seorang yang duduk dalam Pasukan Petugas Khas yang telah dapati ada kes untuk RCI, kemudian duduk dalam RCI untuk isu yang sama?

“Datuk Mohamed Ridha Datuk Ahmad Kadir. Juga dilantik oleh Apandi Ali dalam Pasukan Petugas Khas bagi isu sama. Lagi sekali isu konflik timbul,” katanya.

Justeru itu, Tun Mahathir berkata, beliau menolak hasil laporan RCI terbabit kerana terdapat banyak kecacatan.

“Saya ingin bertanya dahulu rahsia, sekarang terbuka. Siapa yang bersetuju untuk ia dibuka? Kalau ini sudah dibuka dan bukan lagi ‘rahsia’, maka mengapa kerajaan bantah permohonan saya di mahkamah untuk adakan RCI secara terbuka?

“Laporan ini juga akan dibahaskan, tetapi bagaimana hendak bahas sekiranya 47 daripada 217 muka surat dipadam (redacted)? Bagaimana rakyat melalui wakil rakyat hendak bahas atau tanya soalan kalau ada muka surat laporan dipadam?” soalnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat