PETALING JAYA: Malaysia berjaya merekodkan jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia meningkat daripada RM230.2 bilion bagi tempoh sama pada tahun 2023 iaitu peningkatan 10.7 peratus.
“Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan.
“Nilai ini melibatkan 4,753 projek yang dijangka akan menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Tambahnya, MPN juga bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).
“Garis Panduan ini akan digunapakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC).
“Hatta ia adalah inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan bagi pusat-pusat data negara ini,” katanya.
Ujarnya, Kerajaan MADANI berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar-dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara.
Baca juga: