Malaysia terima pelabur Denmark fokus tenaga hijau dan digital


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Denmark.

Beliau menyatakan demikian ketika menerima kunjungan Menteri Luar Denmark, Lars Løkke Rasmussen di Parlimen tengah hari ini.

“Ia khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga hijau, ekonomi digital dan kesihatan. Kami menekuni hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anwar turut mengalu-alukan pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur pada Ogos lalu serta menyambut baik pelaburan dari Denmark yang selaras dengan agenda pembangunan lestari negara.

Antara syarikat Denmark yang telah melabur di Malaysia termasuk Maersk dan United Plantations, yang membuka hub wilayah mereka di sini.

“Saya turut menghargai pelabur dari Denmark yang telah membuka hub wilayah di sini, terutamanya syarikat Maersk dan United Plantations,” ujarnya.

Pertemuan tersebut mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan antarabangsa dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.

Pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark dijangka memperluaskan lagi peluang kerjasama pada masa akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat