Terpalit hutang MARA, Che Ta jual baju ‘preloved’ di TikTok


Oleh: Shafira Aziz

DI sebalik kontroversi berkaitan hutang hampir RM1 juta dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), pelakon Rozita Che Wan dilihat menjalankan perniagaan baju terpakai (preloved) menerusi siaran langsung di TikTok.

Sesi jualan itu menarik perhatian ramai dengan lebih 20,000 tontonan dan hampir 200,000 tanda suka.

Lebih dikenali sebagai Che Ta, dia mempromosikan pakaian miliknya serta ahli keluarga, sambil mengabaikan komen-komen yang membangkitkan isu hutangnya dengan agensi kerajaan itu.

“Che Ta ‘prelove’ barang-barang dia kat TikTok. Aku baca banyak komen netizen terhadap dia. Tapi bagus dia tebal muka jual barang-barang dia,” komen seorang pengguna TikTok.

Terdahulu, kediaman mewah milik pelakon tersebut di Kota Damansara telah dikunjungi oleh pegawai Mara bagi menyerahkan writ dan menilai barangan rumah.

Ketika itu, hanya ibu Che Ta berada di rumah, manakala anaknya, Ammar Effendy, tiba sejam kemudian.

Bagi sesetengah warganet, usaha Che Ta berniaga secara langsung di TikTok tidak sepatutnya diherdik oleh warganet, malah mereka perlu mendoakan agar urusannya dipermudahkan.

“Netizen ni bila bercakap macam tak pernah ada masalah dan tak pernah buat salah. Ujian Allah pada Che Ta tu belum sampai dekat mereka lagi. Patutnya doakan yang baik-baik sesama muslim,” kata seorang lagi pengguna di ruangan komen.

Dengan perhatian yang terus tertumpu kepada isu ini, ramai yang tertanya-tanya bagaimana kes ini akan berakhir.

Dalam masa sama, Che Ta dilihat tetap proaktif mencari peluang demi kelangsungan hidup.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat