JUM PODCAST JAKIM: Platform baharu jawab isu hal ehwal Islam

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan audio siar (podcast) JAKIM Untuk Ummah (JUM PODCAST) sebagai platform baharu untuk menjawab isu-isu semasa berkaitan hal ehwal Islam.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, program berkenaan selari dengan gaya terkini masyarakat yang gemar mendengar info-info semasa menerusi podcast.

“Purata rakyat Malaysia mendengar podcast sekitar 30 minit sehari dan tema gaya hidup, hiburan dan pendidikan menjadi pilihan utama pendengar.

“JAKIM buat podcast! Kenapa tidak?

“Saya ilhamkan JUM PODCAST (JAKIM Untuk Ummah) sebagai medium penyampaian informasi mengenai produk produk perkhidmatan JAKIM dan menjawab isu isu semasa bersangkut paut dengan hal ehwal Islam,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Katanya lagi, JUM PODCAST menampilkan Zack Merican sebagai hos.

“Episod pertama menampilkan perbualan bersama Zack Merican dan Ustaz Shahril Samat mengenai topik “halal”.

“Episod-episod seterusnya akan diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat dengan panel-panel lain.

“Nantikan siarannya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat