Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati terhadap tawaran lesen memandu tanpa ujian yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan JPJ yang dikongsikan oleh MyCheck Malaysia di Facebook, individu tidak bertanggungjawab telah menyunting video menggunakan teknologi buatan (AI) untuk menipu orang ramai.
JPJ menegaskan bahawa semua maklumat dalam video tersebut adalah palsu.
“Dakwaan kononnya JPJ menawarkan lesen memandu tanpa perlu melalui sebarang ujian adalah tidak benar,” kata pihak JPJ yang meminta orang ramai untuk tidak terpedaya.
JPJ mengingatkan bahawa permohonan lesen memandu memerlukan prosedur yang tepat termasuk menghadiri kelas teori dan latihan praktikal di institut memandu yang bertauliah.
“Dapatkan lesen sah daripada JPJ bagi memastikan anda benar-benar layak memandu kenderaan di atas jalan raya, demi keselamatan semua,” tambah kenyataan itu.
JPJ juga menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya pada tawaran yang ‘too good to be true’.