KPN dilantik Profesor Adjung UKM, perkukuh kerjasama akademia dan kepolisan

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dilantik secara rasmi sebagai Profesor Adjung di Fakulti Sains Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia diadakan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Syarahan Profesor Adjung di Dewan Auditorium Pusat Permata Pintar, di Bangi, Selangor pada Jumaat.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pendidikan dan Inovasi) UKM, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani dan turut dihadiri oleh Profesor Kimia Takorganik, FST UKM, Datuk Dr ChM Mohammad Kassim serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin.

Pelantikan itu adalah penghormatan tertinggi UKM terhadap kepakaran, pengalaman dan sumbangan Razarudin dalam bidang kepolisan, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Beliau merupakan alumni UKM dan pernah dianugerahkan graduan terbaik dalam Program Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan pada tahun 2011.

Menurut Dr Wan Kamal, pelantikan Razarudin bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang beliau tetapi juga mewujudkan peluang besar untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara akademia dan sektor kepolisan.

Dalam majlis itu, Razarudin menyampaikan syarahan bertajuk “Menangani Cabaran Narkotik dan Bahan Psikoaktif Baharu (NPS): Sains dan Teknologi Sebagai Senjata dan Force Multiplier,” yang menekankan mengenai hala tuju kerjasama PDRM khususnya melalui JSJN.

Ia melibatkan beberapa aspek termasuk asal usul bahan narkotik, sistem maklumat forensik molekul bagi NPS dan pengesanan bahan narkotik di lapangan.

Majlis turut diisi dengan penyampaian Sijil Profesional kepada 151 peserta yang berjaya menamatkan Kursus Prosedur Operasi Standard Siasatan Tempat Kejadian Kes Bahan Psikoaktif serta peluncuran Bar Perkhidmatan Khas yang menggabungkan warna khas mewakili KPN dan UKM.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM serta ahli akademik UKM.

Anda Mungkin Berminat