Perbincangan Zafrul dengan Anwar tidak formal – Amirudin

SHAH ALAM: Perbincangan antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwa berminat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih penting, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menyifatkan situasinya lebih baik Zafrul menyertai parti komponen berbanding pembangkang atau Perikatan Nasional (PN).

“Ya, kita bincang elok-elok mana lebih baik, dia lompat ke PN atau bersama-sama dalam jemaah Kerajaan Perpaduan, jadi hal itu kena dilihat secara ‘big framework’ dan tidak terikut-ikut dengan desakan kelompok tertentu,” ujarnya, memetik Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan parti gabungan itu.

Bagaimanapun pada Ahad, Perdana Menteri juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, perbincangan yang dimaklumkan Anwar itu adalah tidak formal dan tidak boleh dijadikan alasan untuk membuat sebarang keputusan rasmi.

“Belum dibawa secara rasmi di peringkat Biro Politik ataupun di peringkat MPP setakat ini secara rasmi dan kita tunggu permohonan rasmi kalau ada, tetapi ia harus dilakukan dengan kaedah perbincangan yang akrab dengan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

“Tak boleh sebut apa-apa itu hanya desas desus, cerita-cerita yang berlaku. Mungkin berlaku cakap-cakap di luar sana secara tidak rasmi, itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk dibuat keputusan formal,” tegasnya.

Ketika ditanya mengenai istilah ‘mencuri’ digunakan Ahmad Zahid, Amirudin menyifatkan ia terpulang kepada pandangan masing-masing.

“Itu (istilah) masing-masing, mencuri, ambil dan sebagainya. Masing-masing ada maruahnya, saya faham, ada ‘big framework’ yang kadang-kadang orang lupakan, bila dilupakan jadilah macam-macam.

“Itulah yang jadi tumbang kerajaan 18 bulan, sebab hilang kerangka besar dalam memikirkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendiriannya mengenai kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor yang didakwa bukan perkara baharu dan ditimbulkan oleh pihak luar sejak tahun 2020.

“Ramai ahli nujum ini anggap saya tidak jadi Menteri Besar sejak 2020, bila berlaku ‘Sheraton move’, antara kata-kata mereka ‘habislah kau Amir, kau akan digugurkan’, kemudian berlaku lagi 2021, ada lagi ‘kau akan digugurkan’.

“Kemudian ada pilihan raya negeri pun ramai juga sebut saya akan keluarlah, sudah kemas baju. Alhamdulillah, saya tawaduk dan syukur terus diberi amanah dan kepercayaan oleh anggota parti. Jadi, percaya kepada ahli nujum boleh jadi syirik,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pertemuan dengan Perdana Menteri di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini pada Ahad juga hanya berkenaan perbincangan mengenai keputusan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Sarawak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat