Industri pembinaan Malaysia meningkat kepada RM654.4 juta

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Nilai perdagangan industri pembinaan Malaysia dianggarkan sebanyak RM654.4 juta, mencatat peningkatan 32 peratus berbanding RM494.3 juta tahun lalu.

Dalam satu kenyataan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini, rekod tersebut dicatat menerusi minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2024 yang diadakan dari 22 hingga 24 Oktober di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Jelasnya, acara serantau terkemuka tersebut memperlihatkan kepimpinan negara dalam menyumbang kepada kecemerlangan pembinaan.

“Ia berjaya menghimpunkan hampir 15,000 profesional, pembuat dasar dan inovator bersama 200 pempamer dari 20 buah negara.

“ICW dan BuildXpo 2024 meletakkan Malaysia sebagai hab penting untuk inovasi pembinaan dengan pameran robotik canggih, sistem bangunan pintar generasi hadapan dan teknologi percetakan 3 Dimensi (3D),” katanya pada Selasa.

Selain itu, acara tersebut turut menjadi pemangkin kepada kerjasama transformatif yang didorong oleh tiga perjanjian utama yang akan membentuk masa depan sektor pembinaan negara seperti kerjasama Akreditasi Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kerjasama strategik dengan PlanRadar yang memperkenalkan penyelesaian digital khusus untuk meningkatkan kecekapan pembinaan dan kerjasama peningkatan keselamatan pembinaan dan pembangunan kemahiran.

Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abd. Wahab, ICW dan BuildXpo 2024 berkata ia menjadi bukti kepada usaha berterusan CIDB dalam meningkatkan industri pembinaan Malaysia.

“Pencapaian rekod kami mencerminkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap keupayaan pembinaan Malaysia serta komitmen teguh kami terhadap inovasi,” katanya.

Justeru, dengan fokus menyeluruh terhadap pendigitalan, inovasi dan kelestarian, ICW dan BuildXpo 2024 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara pembinaan yang paling berpengaruh di Asia Tenggara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat