Kedaulatan Pulau Batu Puteh wajib dipertahan – Ahli Parlimen Belia Johor


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Sebarang cubaan untuk menggadaikan kedaulatan negara perlu ditentang sekeras-kerasnya, kata Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Johor, Saufi Adli Adam dan Mohamad Riezman Rosli.

Saufi berkata hal itu merupakan pengkhianatan sangat besar kepada bangsa dan negara.

“Hal ini kerana kedaulatan negara adalah amanah yang wajib dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa kompromi,” jelasnya dalam kenyataan media pada Selasa.

Beliau juga menyokong tindakan untuk menuntut semula Pulau Batu Puteh yang dianggap sebagai kedaulatan dan maruah negara.

Sementara itu, Mohamad Riezman memuji Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas peranan yang tinggi mempertahankan hak Johor mempertahankan pulau tersebut.

“Sebarang keputusan sedemikian perlulah melalui perbincangan mendalam, melibatkan pandangan pakar serta mendapat persetujuan kolektif bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat terjamin,” ujarnya.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan bersama mendakwa, Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu berhubung keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018.

Jelas mereka, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat