SEREMBAN: Pencetus Ummah (PU), Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki dua pada tahun 2022.
Keputusan tersebut dimaklumkan hari ini, dengan kesemua tuduhan terhadap PU Azman masing-masing membawa kepada penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi tiga pertuduhan.
“Hukuman pemenjaraan itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh dijamin pada 9 Oktober lalu.
“Mahkamah juga menetapkan Azman Syah menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman,” memetik laporan Kosmo! pada Selasa.
Terdahulu, PU Azman membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dan kelihatan tenang ketika berada di kamar mahkamah.
Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 5 Februari dan 6 Julai 2022 antara pukul 8.30 malam hingga 5 pagi.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Baca juga: