AUSTRALIA telah mengumumkan penarikan balik tiga varian mi segera jenama Indomie buatan Indonesia dari pasaran.
Pengumuman itu dibuat oleh Agensi Piawaian Makanan Australia New Zealand (FSANZ), Food Square Pty Ltd dan Grand Eastern Trading pada 12 Oktober lalu.
Menurut laman sesawang rasmi FSANZ, tiga produk Indomie yang ditarik semula dari pasaran Australia adalah Rasa Rendang, Rasa Soto Mie dan Rasa Ayam Bawang.
Penarikan semula itu disebabkan oleh ketiadaan maklumat alergen yang penting untuk individu yang mempunyai alahan terhadap susu dan telur.
FSANZ menasihatkan pengguna yang mempunyai alahan terhadap susu atau telur supaya berhenti mengambil produk tersebut.
Pengguna yang mengalami kesan kesihatan selepas pengambilan mi segera tersebut disarankan mendapatkan rawatan perubatan segera dan mengembalikan produk ke lokasi pembelian untuk mendapatkan pemulangan semula wang.
Mi segera Indomie ini biasanya dijual di kedai khusus untuk produk Asia dan Laguna Oriental Supermarket di Melbourne, Victoria, Australia.