PM tegas isu keselamatan siber negara dalam Mesyuarat JKSN

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada Selasa dengan fokus pada situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar dan kompleks.

Mesyuarat itu bagi menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) untuk terus menerajui inisiatif pengukuhan keselamatan siber negara terutama dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Saya dimaklumkan mengenai penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 serta penyediaan Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) yang baharu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Beliau menekankan bahawa Malaysia berada dalam kapasiti tinggi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber yang bakal memberi impak positif sepanjang tempoh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Dalam pada itu, mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil membuka ruang kepada penyelidik dari universiti lain.

Anwar menegaskan pentingnya kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri dan ekosistem keselamatan siber negara.

Selain itu, katanya, mesyuarat bersetuju Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nations Convention against Cybercrime, menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau juga menyokong penggubalan rang undang-undang jenayah siber baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.

“Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan keselamatan siber yang komprehensif dan inklusif,” katanya.

Anda Mungkin Berminat