SEKURANG-KURANGNYA 13 maut manakala lebih 99 orang lagi terselamat dalam kejadian feri terbalik luar pantai ibu kota kewangan Mumbai, India pada Rabu.
Lapor NDTV, nahas berlaku apabila feri yang membawa lebih 100 orang penumpang itu dalam perjalanan dari Gateway of India ke Gua Elephanta, sebelum bertembung dengan bot milik tentera laut India.
Pada masa sama, video memaparkan Tentera Laut India dan pengawal pantai menyelamatkan para penumpang feri tersebut tular di media sosial.
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan, mangsa yang masing-masing memakai jaket keselamatan dilihat menjerit meminta tolong ketika feri berkenaan perlahan-lahan tenggelam.
Tentera Laut India dalam kenyataan di laman X memaklumkan, kapal pihak berkuasa itu hilang kawalan akibat ‘kerosakan enjin’ semasa menjalani ujian enjin di Pelabuhan Mumbai.
Katanya, ini seterusnya mengakibatkan kapal tersebut bertembung dengan feri penumpang yang kemudian terbalik.
“Usaha mencari dan menyelamat segera dilancarkan tentera laut dengan kerjasama pengawal pantai dan polis marin.
“Empat helikopter dan 11 kapal tentera laut, sebuah bot pengawal pantai serta tiga bot polis marin antara kenderaan terlibat dalam usaha menyelamat.
“Mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke jeti dan hospital berhampiran,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis berkata, doktor telah mengisytiharkan 13 orang meninggal dunia, sambil menambah lebih 100 orang diselamatkan.
“Saya mengucapkan takziah kepada mereka yang terkorban dalam kemalangan ini,” kata Fadnavis, sambil menambah pihaknya berkongsi kesedihan keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam satu kiriman di X lewat Rabu berkata, kemalangan bot di Mumbai itu sangat menyedihkan dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan anggota keluarga.
Modi turut mengumumkan bayaran ex-gratia sebanyak 200,000 rupee (RM10,588) dari Dana Bantuan Nasional Perdana Menteri untuk waris setiap mangsa yang terkorban dalam kemalangan bot itu dan mereka yang cedera akan diberi 50,000 rupee (RM2,647).