KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi beberapa negeri di Malaysia, dengan hujan dijangka melanda sehingga Ahad ini.
Di Johor, daerah Mersing dan Kota Tinggi dijangka terjejas oleh hujan berterusan sehingga Ahad.
Menurut kenyataan hari ini, hujan berterusan dijangka melanda kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, dan Miri (Subis, Beluru, Miri, dan Marudi) sehingga Ahad depan.
“Di Sabah, kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) serta Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan) dijangka mengalami hujan yang berterusan sehingga 22 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi beberapa kawasan.
“Angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 km/j dan ombak setinggi lebih 4.5 meter dijangka melanda perairan Sarawak sehingga Selasa, 24 Disember, yang boleh membahayakan aktiviti pantai dan perkapalan, termasuk di pelantar minyak.
“Sementara itu, angin kencang dengan kelajuan 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka melanda perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah Barat, dan Labuan sehingga 24 Disember, berbahaya untuk bot-bot kecil, rekreasi laut, dan sukan laut,” tambahnya.
MetMalaysia turut memberi amaran tentang angin kencang dan laut bergelora yang dijangka melanda beberapa perairan, termasuk Condore, utara Bunguran, Reef North, Reef South, dan Layang-Layang, dengan angin kencang melebihi 60 km/j dan ombak lebih 4.5 meter, yang berbahaya bagi semua aktiviti pantai dan perkapalan.
Di samping itu, angin kencang 50-60 km/j dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka melanda perairan timur Samui, Tioman, selatan Bunguran, Labuan, dan Palawan, serta perairan barat Samui dan Sulu dengan angin kencang 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter, yang juga berbahaya untuk aktiviti perkapalan dan rekreasi laut.
MetMalaysia mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan, terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti luar atau berada di kawasan pantai dan perairan.