Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya membeli pakej pelancongan daripada agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan yang berlesen dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti penipuan.
“Senarai agensi berlesan yang terkini boleh diperoleh daripada laman rasmi MOTAC https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab,” katanya pada Khamis.
Pihaknya merujuk isu tular beberapa individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan oleh seorang pempengaruh media sosial, Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azalina, 39, yang juga menetap di sana.
Mengulas kepada isu tersebut, MOTAC menasihati mangsa yang terlibat untuk membuat aduan rasmi melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi membantu siasatan selain membuat laporan di balai polis berdekatan.
“Orang awam perlu sentiasa peka terhadap makluman rasmi daripada kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan.
“MOTAC juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482],” katanya lagi.
Tambah MOTAC, individu yang menjalankan perniagaan mengendalikan pelancong atau agensi pengembaraan tanpa lesen di bawah akta berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan polis telah menerima lima laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul yang ditawarkan Kim Seri.
Baca juga: