Running Man kembali ke Malaysia selepas 7 tahun

Oleh: Kamilia Ali

RANCANGAN realiti hiburan, Running Man kembali lagi ke Malaysia selepas tujuh tahun dan akan diadakan di Mines International Exhibition & Conference Centre (MIECC), Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025.

Rancangan popular itu telah bersiaran tanpa henti sejak pelancarannya pada tahun 2010.

Kini, Running Man sudahpun memasuki tahun ke-14 penyiaran dan terus kekal sebagai rancangan popular di seluruh dunia terutamanya di rantau Asia.

Antara barisan artis yang hadir di Konsert Running Man Run 2 U Live In Kuala Lumpur itu adalah Jee Seok Jin, Yu Jae Seok, Kim Jong Kook, HAHA, Song Ji Hyo dan Yang Se Chan.

Keenam-enam artis berkenaan akan tampil bagi meraikan kejayaan berterusan Running Man bersama dengan para peminat di Malaysia.

Setakat ini, rancangan tersebut telah mencatat sejarah tersendiri dengan 732 episod sekaligus menjadi rancangan hiburan televisyen paling unggul di Korea Selatan.

Telatah artis-artis dalam rancangan Running Man membuatkan ramai tidak kering gusi dengan pelbagai permainan yang ditontonkan terbukti popularitinya tidak boleh dinafikan.

Pembelian tiket bermula pada 26 Disember ini menerusi laman web Bookmyshow dan TOYM selain harga tiket bermula dari RM288, RM388, RM488, RM688, RM 858 dan RM958.

Bagi peminat Running Man jangan lepaskan peluang ini untuk bertemu dengan barisan artis kesayangan anda!

Sebelum ini, Running Man pernah hadir ke Malaysia pada November tahun 2014 di Stadium Negara.

Selain Kuala Lumpur, enam ahli juga telah berhenti di Manila dan Jakarta, di mana mereka menyediakan persembahan khas dan mengambil bahagian dalam permainan yang menyeronokkan dengan kehadiran peminat.

Anda Mungkin Berminat