Tidak Tangguh SPM Keputusan Sukar, Bukan Tiada Simpati – Fadhlina

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui amat sukar untuk membuat keputusan ketika memutuskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir diteruskan pada 1 Disember lalu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pihak berwajib.

“Hujan tidak turun selama-lamanya. Kita membuat keputusan yang sangat sukar untuk tidak menangguhkan peperiksaan SPM setelah mengadakan pelbagai sesi libat urus.

“Saya nak tekankan kepada tuan-tuan dan puan-puan, keputusan ini adalah hasil tingkat mesyuarat dan musyawarah yang dilaksanakan dengan mengambil kira semua keadaan.

“Panduan kita selepas itu pastilah, tidak boleh ada kemudaratan. Dan lihat pula apakah lagi panduan-panduan yang lain. Ketika itu hadirlah apa yang disebut, apa-apa pertimbangannya, mana mudarat yang paling ringan. Dan selepas itu kita membuat keputusan dan menghadirkan ia dengan kesungguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beliau tidak bersendirian dalam membuat keputusan tersebut apabila KPM mengadakan sesi rundingan berulang kali termasuk perbincangan dengan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi termasuk Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Tambah Fadhlina, keputusan untuk meneruskan ujian bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 bukan kerana tidak simpati dengan nasib pelajar di negeri terjejas banjir.

“Saya juga bersama exco pendidikan Kelantan di sepanjang hari, Datuk Zambri ada bersama. Ada dia suruh saya tangguh? Tidak ada. Ada dia minta kita pertimbangkan? Tidak ada. Apa jawapan beliau. Ambo ikut belako.

“Sokong belako keputusan KPM. Ambo bincang lah dengan Datuk Zambri. Jadi apakah kita tidak ada simpati terhadap anak anak kita, jauh sekali. Sebab simpati dan kasih sayang sangat tinggi, kita buat keputusan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, kehadiran calon SPM di tiga negeri terjejas mencapai paras keseluruhan iaitu 97.49 peratus

Kehadiran bagi negeri kelantan 97.54 peratus, Terengganu 98.01 peratus dan di Kedah 97.94 peratus.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat