Reformasi terus berjalan, MUDA disaran cermin diri – AMK

PETALING JAYA: Agenda reformasi yang dilaungkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) terus diperjuangkan oleh Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun ini.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Azha Salahudin, banyak perubahan telah dilaksanakan daripada segi politik, pentadbiran dan ekonomi.

“Antara pencapaian utama ialah meluluskan RUU Perlembagaan (2024) berkaitan isu kewarganegaraan yang memberi kelegaan kepada kaum wanita yang melahirkan anak di luar negara.

“Selain itu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM13 bilion telah disalurkan untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Agenda reformasi juga dapat dilihat melalui peningkatan hasil dan ekonomi negara dengan pelaburan negara mencatatkan peningkatan membanggakan sebanyak RM254.7 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun 2024,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan tidak ada apa yang boleh dibanggakan berkenaan prestasi PH selepas membentuk kerajaan sehingga kini.

Malah, Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni turut mempersoalkan reformasi yang dilaung-laungkan PH sebelum ini yang disifatkan kini hanya sekadar slogan.

Kata Azha, tidak adil untuk mengatakan agenda reformasi gagal sedangkan Kerajaan Perpaduan hanya berusia dua tahun.

Tambahnya, reformasi memerlukan masa dan kajian mendalam untuk memastikan ia tidak memudaratkan rakyat dan negara.

“MUDA seharusnya membuat semakan dan penilaian berdasarkan data dan fakta yang tepat, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan yang tidak matang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat