KBS tidak tolenrasi keganasan dalam sukan – Adam Adli


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai dasar jelas untuk tidak toleransi dengan sebarang perilaku sembrono atau keganasan dalam sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata pergaduhan penyokong Harimau Malaya yang berlaku di tren Terminal Bersepadu Selatan (TBS) malam tadi mencerminkan sikap tidak menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun kami memahami bahawa penyokong kadangkala boleh beremosi dan kami menghargai semangat mereka, itu bukanlah alasan untuk sebarang tindakan yang boleh dianggap berlebihan.

“Kami menggesa semua peminat sukan untuk sentiasa mengutamakan semangat kesukanan dan menunjukkan rasa hormat terhadap setiap orang dan segala yang ada di sekitar mereka. Sebagai penyokong, kita perlu menjadi contoh yang positif,” ujarnya.

Katanya, KBS kini menunggu laporan penuh mengenai punca utama yang mencetuskan kejadian itu.

“Namun, kami berharap agar semua penyokong di luar sana akan sentiasa mengekalkan semangat sebenar Ekor Harimau Malaya, yang diiktiraf secara meluas sebagai antara penyokong terbaik di rantau ini dan di dunia,” jelasnya.

Terdahulu, kejadian pergaduhan itu dipercayai berkaitan keputusan seri perlawanan antara Malaysia dan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keputusan seri tanpa jaringan itu menyebabkan pasukan Malaysia gagal menempah tiket ke perlawanan separuh akhir, seterusnya menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga.

Kerosakan oleh kumpulan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu cermin tren dan mengakibatkan perkhidmatan itu terhenti sekitar lapan minit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat