Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Empat restoran diarah tutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akibat tidak patuh peraturan kebersihan yang betul.
Operasi itu digerakkan secara bersepadu di Premis Makanan Bersih di sepanjang Jalan Radin Anum 1, Bandar Baru Sri Petaling, Parlimen Seputeh.
Susulan itu, sebanyak 26 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis atas pelbagai kesalahan antaranya kegagalan menyelenggara alat perangkap minyak secara berkala serta membuang efluen terus ke longkang awam.
“Dalam pada itu, premis makanan juga didapati tidak menjaga kebersihan lantai yang kotor, berdaki, dan berminyak, selain tiada jadual pembersihan yang teratur. Kehadiran lipas dan najis tikus turut ditemui, menandakan kegagalan melaksanakan kawalan perosak secara berkesan.
“Selain itu, pekerja di beberapa premis didapati tidak memiliki suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.
“Penyediaan makanan juga dilakukan di atas lantai, manakala bahan mentah disimpan tanpa perlindungan yang sesuai sehingga mengundang lalat. Dinding di kawasan penyediaan makanan didapati kotor, berdaki, dan tidak dipasang jubin,” jelas pihak DBKL pada Sabtu.
Dilaporkan, terdapat juga beberapa gerai atau kiosk tidak berlesen turut dikesan, menghalang laluan pejalan kaki dan tempat letak kenderaan lalu penyediaan dan pencucian makanan pula dilakukan di kaki lima dan lorong belakang premis, melanggar peraturan kebersihan.
Dalam operasi sama, terdapat juga majikan yang menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah, melanggar undang-undang buruh yang ditetapkan.
“Oleh hal demikian, DBKL menyeru semua pemilik premis makanan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kesihatan awam dan kesejahteraan warga kota.
“Sebarang aduan berkaitan kebersihan premis makanan boleh disalurkan melalui portal Adu@KL di laman sesawang adukl.dokl.gov.my,” jelas pihak DBKL.
Baca juga: