KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 barangan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas tahun ini, dengan penguatkuasaan bermula pada 27 Disember.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata barangan tersebut ialah ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kubis bulat import (kecuali dari Indonesia dan China), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import dari China, serta babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Kawalan harga maksimum turut dikenakan terhadap kepak ayam, daging babi bahagian perut, dan daging babi bahagian daging dan lemak, khususnya di Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Menurut Armizan, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat, terutama bagi mereka yang menyambut Krismas.
“Dengan adanya SHMMP dan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas, kami berharap dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, terutama penganut Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.
Senarai harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan faktor seperti ketersediaan bekalan, kos semasa, cuaca, kadar upah, dan pandangan pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan, dan pemain industri.
Skim ini akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan pegawai penguatkuasa ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan oleh peniaga.
Peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal.
KPDN turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini.
“Penalti termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat,” tambahnya.
Dalam sidang media pelancaran SHMMP Krismas 2024, Menteri KPDN, Armizan turut mengumumkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas.
Sebanyak 670 PJRM diadakan di seluruh negara sempena perayaan ini, bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Untuk aduan, pengguna boleh menghubungi talian WhatsApp 019-848 8000 atau melaporkan melalui aplikasi Ez ADU KPDN.
Baca juga: