Anwar doa kesembuhan Prabowo, sedia temui Thaksin 26 Disember


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pertemuan yang sepatutnya dibuat di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguh pada tarikh yang baharu.

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Anwar, penangguhan itu terpaksa dibatalkan akibat masalah kesihatan Prabowo yang demam dalam tempoh beberapa hari.

“Saya dan keluarga sudah di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini. Namun, malam tadi, beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam.

“Saya mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin, sekali gus menyambung rencana pertemuan dua negara,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, katanya, pertemuan bersama mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tetap diteruskan pada 26 Disember dalam agenda ASEAN mengekalkan kesejahteraan di peringkat serantau.

Terdahulu, Presiden Prabowo Subianto berhasrat ke Malaysia bertemu Anwar selepas lawatan rasmi beliau ke Kaherah, Mesir.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat