Oleh: Haikal Tajuddin
SEPERTI dijangka, kumpulan KRU menunjukkan aura ‘legend’ mereka dengan tiket konsert GenKRU habis diserbu peminat dalam tempoh 45 minit dalam talian.
Rata-rata peminat kelihatan gembira kerana berjaya membeli tiket untuk menyaksikan konsert KRU hari kedua trio adik beradik yang dianggotai Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim ini.
“Jumpa nanti! Berjaya grab tiket hari ini!,” komen @Athina_farra di akaun Instargram Malaysia Bangkit pada Isnin.
“Hari pertama gagal, yang kedua dapat dua tiket. Guna akaun guest tetapi sudah buka laman sesawang itu sejak malam tadi,” balas @yanascarlett.
“Alhamdulillah, saya dapat juga, 10.07 pagi di pintu syurga,” komen @qrissyazulkafli.
Jumaat lalu, penganjur konsert GENKRU, Icon Entertainment mengumumkan tiket konsert kumpulan KRU yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei (Sabtu) tahun depan itu laris dalam tempoh kurang sejam.
Hal itu menimbulkan kekecewaan ramai peminat yang tidak bernasib baik.
Bagi menjernihkan kembali keadaan, pihak penganjur mengumumkan akan mengadakan konsert hari kedua yang akan berlangsung di lokasi sama, pada hari berikutnya (4 Mei 2025).
Tiket tersebut mula dijual pada 23 Disember 2024 (hari ini), sekitar jam 3 petang tadi di laman https://www.ticket2u.com.my/kru2.
Jadi, ayuh peminat rap era 90an, rasai kehangatan nostalgia bersama lagu-lagu ikonik mereka dan jadikan malam pertama dan kedua ini satu memori yang tidak akan dilupakan.
Baca juga: