Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa tindakan mengutip dana untuk membayar saman sivil akibat fitnah akan menggalakkan ahli politik bertindak tanpa tanggungjawab.
Beliau berkata, tindakan tersebut salah di sisi agama kerana seakan-akan meredhai perlakuan dosa fitnah.
“Sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah, ” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Khairuddin menegaskan bahawa dana sumbangan awam patut digunakan untuk kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah dan pendidikan, bukannya membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah.
Beliau juga menambah bahawa tindakan sedemikian merosakkan nama pihak lain, khususnya mereka yang tidak sealiran.
Sebelum ini, tersebar surat pekeliling yang memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, membayar RM825,000 yang diperintahkan oleh mahkamah.
Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok berhubung ucapan beliau yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Mahkamah Tinggi mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi berjumlah RM750,000 kepada pemimpin-pemimpin DAP tersebut serta kos guaman sebanyak RM25,000 setiap seorang untuk ketiga-tiga plaintif.
Baca juga: