Lori Tangki Terbalik, 20 Tan Minyak Sawit Beku Dibersih

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kira-kira 20 tan minyak kelapa sawit membeku dibersihkan di dalam longkang selepas sebuah lori tangki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 27.9 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur pada Rabu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan,
kontraktor yang dilantik bersama Air Selangor dan Indah Water Konsortium (IWK) menjalankan proses pembersihan lapisan minyak yang tebal itu.

Menurutnya, sehingga pukul 12.30 tengah hari Khamis, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu telah mencapai tahap 65 peratus dengan empat lori tangki IWK digunakan bagi menyedut sisa minyak di sum lebuh raya.

“Pada masa sama, kerja-kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepatkan proses pembersihan.

“Air Selangor telah menambah bilangan tenaga kerja keseluruhan 50 orang untuk mempercepatkan proses pembersihan melibatkan kerja menyodok keluar sisa minyak yang telah membeku dengan lapisan yang tebal,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, LUAS juga telah melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan 3 unit ‘oil boom’ di anak Sg. Gombak bagi memerangkap sebarang kesan minyak masuk ke sungai tersebut.

“LUAS juga telah meletakkan sebanyak 10 beg ‘activated carbon’ (AC) di kawasan terlibat bagi tujuan nyahbau.

“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS terus berada di tapak memantau rapi kerja-kerja berkenaan dan keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, media melaporkan insiden kemalangan lori tangki muatan minyak kelapa sawit di lokasi kejadian telah menyebabkan tumpahan minyak daripada kenderaan itu yang mengalir ke longkang berhampiran dianggarkan sepanjang 150 meter.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat