Telegram, WeChat Mula Proses Pelesenan di Malaysia – MCMC

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa dua pengendali aplikasi mesej dalam talian, Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.

Proses pelesenan itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat, kata MCMC dalam kenyataan pada Khamis.

“MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah suruhanjaya itu lagi, keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 itu bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Selain itu, katanya, kerangka itu juga dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan supaya melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.

“Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC turut menyeru semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar segera mengemukakan permohonan sebelum tarikh akhir pada 31 Disember ini.

Tambahnya, kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil.

“MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua Penyedia Perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut laporan media sebelumnya, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu yang diperkenalkan mulai 1 Ogos lalu.

Penguatkuasaan itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet di negara ini mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat