Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 6,611 projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat membabitkan perbelanjaan hampir RM1 bilion pada tahun 2024.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, projek yang dilaksanakan tahun ini meliputi 20 projek berskala besar, projek berskala kecil (3,697) projek pembangunan gerai dan kiosk (357) dan satu projek pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Manakala 362 projek lagi telah dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 meliputi peningkatan tahap kesihatan gerai, warung kecil sebanyak 87 projek, sistem perparitan dan longkang 93 projek dan penyelenggaraan kolam takungan banjir sebanyak 182 projek.
“KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam dan bina baharu di kawasan Kampung Baru Cina termasuk kampung baru cina melibatkan 2,168 projek dan geran pembangunan sosioekonomi sebanyak enam projek.
“Secara keseluruhan, projek bagi kerajaan tempatan adalah yang paling banyak dilaksanakan sepanjang tahun 2024 dengan peruntukan RM993.73 juta atau hampir RM1 bilion,” beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun 2024 di Tambun, Perak pada Jumaat.
Katanya, program tersebut merupakan penutup kepada Jelajah Sentuhan Kejayaan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan dan Agensi KPKT di sepuluh (10) lokasi sejak 1 Disember 2024.
Mengulas lanjut mengenai projek yang berjaya disiapkan, katanya, pembangunan Parlimen Tambun yang merupakan kawasan diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang diberi perhatian KPKT dengan kelulusan peruntukan RM168.7 juta melibatkan 107 projek.
“Daripada jumlah itu, 55 projek adalah di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta manakala RM149.21 juta untuk Program Residensi Rakyat (PRR) Tambun yang menyediakan rumah mampu milik dan RM567,948.50 lagi bagi tujuh projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya lagi.
Baca juga: