Permohonan pengampunan tahanan rumah Najib perlu dikemuka kepada Lembaga Pengampunan

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Baginda menitahkan, permohonan pengampunan perlu mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang.

“Menurut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, menunda hukum dan meringankan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

“Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah,” kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang terpakai bagi mengelakkan tindakan tersebut dicabar di Mahkamah.

Oleh itu, katanya, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya banduan, termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya di rumah, perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Untuk rekod, Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan Diraja pada 2 September 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat