PKR Sabah tegas tolak rasuah menjelang PRN17

PETALING JAYA: Menjelang Pilihanraya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah, isu rasuah dan ketirisan kembali menjadi tumpuan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menegaskan bahawa parti tersebut komited dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa serta berpegang kepada prinsip ‘rule of law’.

Dalam satu kenyataan, Razeef berkata, sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa fokus utama adalah kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, keadilan dalam pengagihan kekayaan negara serta memerangi amalan rasuah, pemborosan dan penyelewengan.

“Kita (PKR Sabah) minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap beberapa ADUN yang terlibat dalam skandal video rasuah.

“Namun, siasatan perlu dilakukan dengan teliti untuk mengelakkan kecacatan dalam pendakwaan,” katanya.

Beliau turut mengkritik pentadbiran terdahulu yang didakwa menyebabkan ketirisan sehingga RM1.5 bilion ketika Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ditadbir oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurutnya, ketirisan itu mengakibatkan banyak projek pembangunan infrastruktur rakyat tidak berfungsi.

Beliau menegaskan bahawa di bawah Kerajaan Madani, tiada kompromi terhadap individu yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

“Berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk memahami maksud sebenar hukuman itu melalui program pendidikan dan penerangan supaya tiada sebarang salah faham yang boleh mencetuskan polemik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat