Ulasan | Trend bayar zakat ke Perlis demi wakalah

Oleh: Faisal Rahim

ISU ini semakin panas beberapa hari walaupun ia bukan perkara baru. Dah bertahun-tahun cerita tentang ini.

Tapi kali ni nak cerita dari sisi pandang peribadi sebagai seorang Amil Zakat. Aku juga berminat nak tahu pendapat anda.

Orang kita ni kesedaran bab Agihan Zakat bagus. Sangat teliti nak pastikan agihan telus, terperinci dan proaktif. Cuma bila tiba bab nak bayar zakat, makin ramai cari tempat yang boleh bagi pulangan / habuan zakat paling tinggi.

Maksudnya begini. Kalau dia nak bayar zakat RM10,000. Dia akan cari tempat yang boleh bagi pulangan semula zakat kepada mereka. Siapa dapat bagi pulangan zakat lagi tinggi, dia akan bayar ke sana.

Contoh kalau bayar kat Perlis, boleh dapat 20 peratus (RM2,000). Kalau bayar negeri sendiri tak dapat apa-apa. Jadi dia akan bayar ke sana. Trend harapkan pulangan ketika melaksanakan kewajipan zakat ini makin popular.

Pentingkan diri sendiri

Perkara ini lagi serius kat syarikat-syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain. Sebab mereka bayar zakat tinggi (cukai LHDN tinggi). Semakin tinggi zakat, semakin tinggi dapat pulangan. Dapat jimat tak payah bayar cukai banyak. Dahlah dapat duit semula (boleh labur tempat lain).

Peliknya bab ini, mereka tak pernah nak persoalkan tempat dia bayar. Tak pernah tanya ke mana agihan zakat dibuat? Kat mana Laporan Tahunan Zakat mereka? Berapa ramai asnaf dah bantu? Jumlah RM dah dibantu dan lain-lain. Bagi mereka itu tak penting. Sebab kalau ada keraguan, mereka takut tak dapat pulangan tinggi lagi akan datang. Yang penting aku dah bayar zakat.

Cuma mereka lupa satu bab lain. Bila ada adik beradik, saudara mara, jiran susah dan jatuh miskin di kariah mereka, ada adik sambung belajar, dia sendiri sakit dialisis / kronik, mereka semua kena minta kat Pusat Zakat negeri masing-masing.

Contoh kalau jadi asnaf di Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, kita tak boleh minta bantuan zakat kat Perlis, walaupun kita bayar kat Perlis. Terpaksa guna duit zakat orang lain. Daripada mana pusat zakat ni dapat duit tu? Ya, dari zakat-zakat orang lain yang bayar kat negeri sendiri.

Bab mohon zakat, kita nak orang keliling kita dibantu Pusat Zakat negeri. Tapi Bab bayar zakat harta sendiri, kita sendiri pilih negeri yang boleh bagi habuan dan return zakat paling tinggi. Untuk maksimumkan keuntungan peribadi. Pada aku, ini sangat pentingkan diri sendiri.

Akhirnya berlaku negeri yang mempunyai asnaf ramai seperti Kelantan, Sabah, Perak, Pahang, kutipan zakatnya lagi rendah dari negeri yang asnafnya paling sikit di Malaysia.

Kalau tanpa cerita bab hukum sekalipun, logik begini sahaja sudah tidak betul bagi orang yang nak berfikir dengan akal waras.

Komitmen zakat berbeza

Disebabkan urusan agama ditadbir ikut negeri, memang negeri lain tak mampu berbuat apa-apa. Cuma mereka terpaksa berbuat sesuatu bagi tarik lebih ramai pembayar untuk bayar kepada mereka.

Kesannya, setiap negeri sekarang berlumba-lumba tawarkan Agihan Semula (Wakalah/Waad) kepada pembayar zakat. Walaupun ketika ‘kantong duit’ tak cukup nak bantu asnaf negeri mereka sendiri.

Walhal, komitmen membantu asnaf setiap negeri sangat berbeza. Contoh di Selangor ada 73,000 keluarga Asnaf (400,000 orang) vs Perlis cuma ada 6,500 keluarga Asnaf.

Kutipan zakat tak banyak beza. Tapi komitmen nak agihkan zakat lebih 10 kali ganda lebih besar. Faktor ini yang ramai gagal faham. Bila tak banyak komitmen, ada banyak lebihan, boleh bagi komisyen dan agihan semula tinggi.

Ejen-ejen zakat yang untung besar (komisyen 20 peratus) pun tak pernah kisah bab ini. Yang penting mereka kaya dapat bawa kutipan zakat ke negeri lain. Walaupun dia bekas asnaf dan keluarganya dibantu zakat negerinya sendiri sebelum ini.

Zalimi asnaf negeri lain

Pada aku bayar zakat di luar kawasan ni, menzalimi asnaf di negeri yang masih belum cukup asnaf untuk disantuni.

Jumlah kutipan perlu selari dengan jumlah asnaf sesebuah negeri. Sangat pelik, negeri paling sikit asnaf tapi kutipan zakatnya ke-3 tertinggi di Malaysia. Ini sebabkan banyak isu sosial dan ketidakadilan lain.

Hingga ada negeri-negeri terpaksa bagi promosi Agihan Semula yang kompetitif bagi elakkan rakyat mereka bayar ke negeri lain.

Akhirnya, urusan zakat ni dah jadi macam perniagaan.

Pembayar zakat masing-masing cuba maksimumkan untung (cari pulangan zakat paling tinggi ketika bayar zakat).

Institusi zakat pula bersaing nak pulangkan zakat kepada pembayar (wakalah/waad) supaya pembayar boleh agih sendiri dengan kadar lebih tinggi.

Akhirnya, akan ada negeri yang untung dan ada negeri yang asnafnya semakin miskin.

Persoalannya, inikah maksud syiar zakat yang kita mahu di Malaysia?

***Penulis adalah amil zakat dan sentiasa berkongsi isu zakat serta tazkirah agama di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat