Mangsa banjir gelombang ketiga meningkat kepada 1,658 orang

PETALING JAYA: Petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) giat membantu mangsa banjir gelombang ketiga yang kini melanda beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan merekodkan terdapat peningkatan kawasan dilanda banjir dengan jumlah keseluruhan mangsa di kedua-dua negeri seramai 1,598 orang setakat jam 10 pagi hari ini.

“Justeru, saya menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda.

“Kepada orang ramai yang sedang bercuti akhir tahun dan mempunyai perancangan ke kawasan-kawasan yang berisiko banjir, anda dinasihatkan untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan serta mematuhi semua langkah-langkah yang ditetapkan pihak berkuasa agar perkara-perkara tidak diingini berlaku,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut memberi penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

Antara daerah terlibat di Negeri Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, serta di negeri Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman kini berada pada tahap amaran bahaya akibat hujan berterusan di kawasan-kawasan tersebut.

Manakala banjir di Semporna Sabah pula melibatkan 71 orang.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Juga maklumat di portalbencana.nadma.gov.my

Baca juga:

.

Anda Mungkin Berminat