Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Rantaian bekalan makanan negara berjaya distabilkan melalui kolaborasi erat antara sektor awam dan swasta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini sekali gus dapat menggalakkan inovasi dalam sektor agromakanan serta memastikan bekalan makanan yang selamat dan mencukupi.
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengakui, meskipun perjalanan untuk menstabilkan rantaian bekalan makanan itu tidak mudah, ia telah mengukuhkan asas buat negara untuk terus maju ke hadapan.
“Melangkah ke tahun 2025, saya yakin bahawa setiap cabaran yang telah kita tempuhi di tahun 2024 adalah pelajaran berharga untuk kita memperbaiki diri dan memperkasakan lagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Tahun baharu ini membawa peluang untuk kita meningkatkan daya saing, mempelbagaikan sumber pengeluaran makanan, dan mengutamakan kelestarian dalam setiap langkah yang kita ambil.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama dalam memastikan kejayaan negara kita. Tahun 2025 adalah masa untuk kita melipatgandakan usaha dalam membangun negara yang lebih lestari, inklusif, dan makmur untuk generasi masa depan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Beliau berkata demikian sempena tahun baharu 2025 yang bakal disambut seluruh dunia pada Rabu.
Minggu lalu, Mat Sabu dilapor memberi jaminan bahawa negara tidak akan berdepan isu kekurangan bekalan makanan meskipun berdepan cabaran banjir ketika ini.
Beliau berkata, kekurangan bekalan itu boleh ditampung menerusi hasil kerjasama antara negara Asean untuk mengimport makanan itu.
Katanya, Malaysia berada di kedudukan kedua di belakang Singapura dari segi keterjaminan makanan merujuk kepada Food and Agriculture Organization (FAO) bagi rantau ini.
Dalam pada itu, Mat Sabu berkata, tahun 2024 yang bakal ditinggalkan tidak lama sahaja lagi merupakan tahun yang penuh cabaran.
Menurutnya, Malaysia berdepan dengan ketidaktentuan cuaca akibat perubahan iklim, tekanan ekonomi global dan cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan untuk semua rakyat.
“Namun, cabaran-cabaran ini telah kita tangani dengan penuh tekad dan kesepaduan, hasil usaha gigih semua pihak – daripada petani, penternak, dan nelayan, kepada pemimpin industri, serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Saya amat berbangga dengan semangat dan daya tahan rakyat kita,” tambahnya.
Baca juga: