Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah membebaskan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang malam tadi.
Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, AMK kesal dengan penahanan tersebut yang dilihat jelas tidak selari dengan prinsip dan nilai di bawah Kerajaan MADANI.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju sekiranya Fahmi Reza ditahan atau didakwa susulan karyanya terkait pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Justeru, AMK Malaysia mendesak supaya saudara Fahmi Reza dibebaskan dengan kadar segera.
“AMK Malaysia juga sedia memberikan bantuan guaman untuk membantu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Fahmi Reza ditahan bagi membantu siasatan susulan 30 laporan polis berhubung karikatur penghinaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu, pereka grafik itu diberkas kira-kira jam 5 petang selepas hadir di IPD Penampang.
Katanya, Fahmi Reza ditahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 198.
Menurut Asheeq, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan mesej yang dibawa oleh Fahmi melalui karya satiranya, namun AMK berpendirian bahawa kritikan melalui karya seni seperti satira tidak boleh dianggap sebagai satu jenayah.
“Kebebasan bersuara dan berekspresi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dilindungi selagi mana ia tidak menyebabkan sebarang ketidaktentraman awam,” katanya.
Baca juga: