Penghantar makanan rugi RM34,800 diperdaya sindiket pelaburan palsu

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seorang penghantar makanan rugi RM34,800 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu dalam talian.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula selepas berkenalan dengan seorang perempuan warga asing yang dikenali Lily dalam laman sosial Facebook.

“Suspek meminta mangsa menggantikan tempatnya sebagai pekerja sambilan pada 21 November lalu. Dia juga meminta mangsa menghubungi seorang wanita yang didakwa sebagai cikgu kewangan saham untuk membimbingnya dalam pelaburan itu.

“Akibat termakan dengan kata-kata suspek, mangsa mula membuat enam transaksi ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM34,800 pada 2 Disember hingga 28 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan perlu membuat bayaran tambahan berjumlah RM14,881 ke dalam akaun bank atas nama Muhammad Haiqal Bee sebagai syarat untuk mengeluarkan wang pelaburannya.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan pulangan keuntungan yang dijanjikan.

“Hasil siasatan awal mendapati, dua daripada enam akaun yang terlibat mempunyai enam laporan polis melibatkan kes penipuan pelaburan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam tawaran kerja yang tidak wujud.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berurusan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat