2025: Malaysia perkukuh jaringan ulama dunia bawah kepimpinan MADANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus memartabatkan Islam sebagai asas tadbir urus negara yang berpaksikan nilai ihsan, keadilan dan kebijaksanaan, bukan sekadar sebagai identiti simbolik semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian bagi mengulas pelbagai peristiwa sepanjang tahun 2025.

Menurut beliau, sepanjang tahun ini, usaha tersebut diperkukuh melalui pelbagai pertemuan, wacana dan dialog bersama para ulama tersohor dari dalam dan luar negara, termasuk tokoh pemikir Islam serta influencer Islam terkemuka yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk kefahaman masyarakat global.

“Pertemuan ini berlangsung dalam suasana saling menghormati dan penuh kepercayaan, menjadi ruang pertukaran pandangan yang jujur mengenai cabaran umat Islam serta peranan kepimpinan Islam dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya di Facebook malam tadi.

Anwar turut menekankan keperluan agar pimpinan Islam tampil lebih tegas dan berani dalam menangani isu yang menyentuh kepentingan umat, di samping terlibat secara aktif mencari penyelesaian yang adil dan bermaruah terhadap konflik kemanusiaan yang berlarutan.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah penderitaan rakyat Palestin di Gaza, yang menurut beliau menuntut suara dan tindakan lebih jelas daripada pemimpin serta tokoh Islam di peringkat antarabangsa, termasuk melalui platform digital dan pengaruh sosial yang semakin luas.

“Islam menuntut kita berdiri atas prinsip kemanusiaan sejagat. Kezaliman tidak boleh didiamkan, dan keadilan mesti diperjuangkan dengan hikmah serta keberanian,” ujarnya.

Beliau berharap setiap langkah memartabatkan Islam yang digerakkan Kerajaan MADANI akan terus dipandu oleh amanah dan kebijaksanaan.

Malahan menurut figura yang melonjak ke tangga ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) ini berharap ia akan membawa manfaat bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada seluruh umat manusia.

“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT, Insya-Allah,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat