Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan stesen LRT KLCC ditutup sementara waktu susulan terdapat laporan kepulan asap dikesan di bahagian bilik peralatan elektronik di dalam stesen.
Menurut Rapid Rail, sebagai alternatif, penumpang boleh menaiki tren laluan MRT Putrajaya dari Persiaran KLCC dan Ampang Park.
“Penumpang disaran untuk ke stesen Persiaran KLCC dan stesen Ampang Park untuk meneruskan perjalanan.
“Perkhidmatan bas perantara percuma disediakan di antara stesen Ampang Park, stesen KLCC dan stesen Dang Wangi.
“Pihak bomba sedang berada di lokasi kejadian dan pengguna disaran untuk bertenang dan patuhi segala arahan petugas operasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi maklumat terkini, bagi laluan Kelana Jaya, penumpang boleh menunggu bas di lokasi berkenaan untuk menaiki perkhidmatan bas perantara percuma.
“Bas berhenti di Avenue K untuk ke Ampang Park. Bas berhenti di Decathlon KL City Centre untuk ke Dang Wangi,” kata Rapid Rail.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang.
Menurut Komander Operasi PBK II Mohamed Azimin Bin Mohamed Zahidi, kejadian berpunca daripada kotak suis terbakar.
“Bagaimananpun, api berjaya dipadamkan oleh pasukan ERT KLCC sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan ERT KLCC menggunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida bagi memadam kebakaran tersebut dan punça kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohamed Azimin, tiada mangsa yang terlibat dan keadaan terkawal.
Punca kebakaran masih disiasat.
Baca juga: