PETALING JAYA: Polis mengesahkan empat individu yang meninggal dunia ketika menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway pada ambang tahun baharu, disyaki akibat pengambilan dadah jenis pil ecstasy .
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang menjual dadah tersebut di dalam dan luar konsert.
“Kita tidak menafikan ada individu yang berlegar di situ dan menjual pil ekstasi dengan harga RM50 bagi satu pil. Kebiasaannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100.
“Kita masih menyiasat untuk kenal pasti mereka yang terbabit dalam penjualan pil ekstasi di konsert,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Selain empat mangsa yang maut, tiga lagi dilaporkan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat dan laporan toksikologi daripada mangsa yang meninggal dunia bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.
“Semua tujuh mangsa termasuk yang meninggal dunia bukan kenalan dan hadir ke konsert berkenaan secara berasingan bersama rakan serta keluarga masing-masing,” katanya lagi.
Hussein berkata, sehingga kini enam percakapan saksi dirakam, selain beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa.
Katanya lagi, dalam konsert tersebut, penganjur didapati gagal mengawal aktiviti pengedaran dadah itu.
“Kita juga tidak boleh menolak pihak penganjur terlibat atau tidak dalam pembekalan pil ekstasi ini. Individu yang hadir dalam konsert juga boleh secara bersendirian dan perkara ini semua dalam siasatan.
“Di masa hadapan sekiranya sebarang penganjuran konsert, pihak penganjur perlu memberi jaminan mereka boleh mengawal sebarang kemasukan dadah dalam mana-mana konsert,” katanya.
Baca juga: