PAS tidak bertanggungjawab, hipokrit teruskan perhimpunan – Guan Eng

PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengecam tindakan PAS kerana meneruskan perhimpunan pro-Najib pada 6 Januari di luar Mahkamah Rayuan Putrajaya, meskipun UMNO telah menarik diri.

Guan Eng menyifatkan tindakan PAS itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip, hipokrit dan oportunis.

Beliau berkata, PAS sedang mengusahakan politik licik ala ‘Squid Game’ untuk merebut kuasa dengan apa cara sekali pun.

“PAS bersifat tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip, hipokrit dan oportunis dalam membuat keputusan untuk meneruskan perhimpunan ini.

“Meski titah diraja daripada Istana Negara mengenai prerogatif pengampunan Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan amaran daripada Ketua Polis Negara untuk tidak menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Terdahulu, PAS tetap hadir bersama ahlinya menyertai himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya Isnin ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu tidak sesakali menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong.

Guan Eng juga mendakwa PAS menggugat kesejahteraan sosio-politik dan ekonomi negara dengan menghapuskan semua lawan politik secara tidak jujur termasuk sekutu politik mereka, BERSATU yang tidak melibatkan diri dengan perhimpunan tersebut.

“Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, cuba mengubah naratif dengan mendakwa DAP yang menjadi peserta dalam ‘Squid Game’ politik.

“Jelas PAS tidak mempunyai kreativiti dan keaslian dalam menggunakan analogi politik DAP sendiri untuk menggambarkan konspirasi politik PAS,” katanya.

Pada masa yang sama, Guan Eng turut mempertahankan keputusan DAP untuk menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan jenayah rasuah.

Beliau menegaskan bahawa DAP memilih untuk mematuhi Titah Diraja untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, berbeza dengan PAS yang berani mengingkari dan menentang Titah Diraja.

“Jika DAP memilih untuk tidak berbuat demikian, maka DAP dengan mudah akan dituduh sebagai tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan bakal diserang dengan soal perkauman.

“Jauh beza dengan PAS yang tamak kuasa, DAP sanggup berkongsi kuasa seperti titah raja,” katanya.

Anda Mungkin Berminat