Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Dua bekas pengarah syarikat mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri, tanpa kelulusan mesyuarat agung.
Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kedua-dua tertuduh telah membuat bayaran bonus bersekali dengan pembayaran gaji pada 30 Januari 2018.
“Mereka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Disember tahun lalu dan dituduh di bawah seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai pengarah syarikat untuk manfaat kepada diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.
Bagaimanapun, pada 13 Disember lalu, mereka telah menukar pengakuan bersalah dan Hakim, Norina Zainol Abidin telah menetapkan 20 Disember untuk pembacaan fakta kes dan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nurul ‘Ain Shafie dan Nurul Nabila Azmi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ong Weng Li.
Kedua-dua tertuduh telah dikenakan denda sebanyak RM100,000 setiap seorang dan jika gagal bayar, hukuman penjara enam bulan, namun mereka telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai.
Baca juga: