Ulasan | Berjuta rakyat perlu pembelaan, kenapa Najib seorang diberi keutamaan?

Oleh: Datuk A Kadir Jasin

SELEPAS Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan mengenai pengampunan diraja, pada 28 Disember lalu, semalam giliran Istana Negara pula. 

Inti pati kenyataan Istana Negara itu adalah mengenai kuasa prerogatif

Yang di-Pertuan Agong memberi ampun, menunda hukum atau lega hukum bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan. 

Sultan Ibrahim, sebagai Yang di-Pertuan Agong, memiliki kuasa mengikut Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Ia dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mana Baginda adalah Pengerusi. 

Isu pengampunan ini menjadi heboh kerana banduan yang terlibat adalah bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak. 

Bagi yang sudah lupa atau tidak pernah tahu, Mohd Najib ini bukanlah dibicarakan main-main oleh “kangaroo court”. Dia pun bukan curi Milo atau roti Bengali. 

Dia dibicarakan oleh sembilan orang hakim di tiga peringkat mahkamah. Seorang hakim di Mahkamah Tinggi, tiga orang hakim di Mahkamah Rayuan dan lima orang hakim di Mahkamah Persekutuan. Semua kata dia bersalah. 

Saksi pun bukan seorang dua tapi berpuluh-puluh orang. Kerajaan, melalui pendakwa raya, kemukakan 57 orang saksi manakala pihak Mohd Najib kemukakan 19 orang. 

Bicara pun bukan sehari dua tetapi berbulan-bulan. Keterangan saksi pendakwa mengambil masa 58 hari dan pembela 33 hari. 

Jadi minta maaflah kalau saya kata, saya tak faham pasal apa tergesa-gesa sangat nak ringankan hukuman dia, nak penjara dia di rumah malah, kalau boleh, nak bebaskan dia. 

Kita sepatutnya utamakan dan lindungi kewibawaan institusi-institusi utama negara seperti Institusi Raja,  Perlembagaan dan Kehakiman. 

Mamat-mamat daripada segala parti politik dan pertubuhan hendak tuduh Kerajaan Madani derhaka boleh. Itu hak mereka. Tapi guna nama seorang banduan sebagai alasan adalah tidak masuk akal. 

Berjuta-juta rakyat jelata memerlukan perhatian dan pembelaan dalam pelbagai hal, mengapa Mohd Najib seorang diberi keutamaan? Adakah kerana dia kaya dan keturunannya mulia? 

Kita kena ingat, berpuluh-puluh malah mungkin beratus-ratus orang terlibat menyiasat, mendakwa dan mengadili Mohd Najib. Takkan semua mereka bohong. Takkan kita hendak dengar rintihan seorang banduan saja? 

Tak tahulah, kalau pada zaman edan ini, kita sudah hilang kewarasan dan pertimbangan. 

Sekarang derajat negara terlihat telah suram, pelaksanaan undang-undang sudah rusak, karena tanpa teladan, Kini, Sang Pujangga, hatinya diliputi rasa sedih, prihatin, tampak jelas kehina-dinannya, amat suram tanda-tanda kehidupan. Akibat kesukaran duniawi, bertubi-tubi kebanjiran bencana.

(Terjemahan bait pertama syair Serat Kalatidha – ramalan zaman edan – karya pujangga Jawa, Ronggo Warsito).

***Penulis adalah Tokoh Wartawan Negara dan sentiasa menulis mengenai isu semasa di media sosialnya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat