Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Visit Malaysia (VM) 2026 dilancarkan sebagai langkah strategik oleh kerajaan MADANI untuk memacu keunikan dan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, VM 2026 selaras dengan hasrat Malaysia untuk menyambut 35.6 juta pelancong menjelang tahun 2026.
Katanya, rancangan itu adalah sangat pragmatic dan realistic jika Berjaya mencapai anggaran tersebut.
“Jika sasaran tersebut tercapai, negara dapat menjana pendapatan sebanyak RM147.1 bilion yang akan memberi manfaat besar kepada pelbagai sektor seperti pelancongan, makanan dan minuman serta industri berkaitan.
“Malah untuk tahun ini sendiri, dalam kita menjayakan ASEAN 2025. Kita pastikan program-program kita itu menyiapkan negeri-negeri semuanya tanpa kecuali menjadi destinasi pelancong tahun ini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan setiap negeri menjadi destinasi pelancongan bagi memastikan tiada kawasan atau negeri yang tersisih dan tertinggal.
Kata Anwar, strategi itu melangkaui industri perhotelan, pengangkutan dan runcit dengan manfaat ekonomi dikongsi oleh komuniti bandar dan luar bandar.
Perdana Menteri juga memuji usaha negeri-negeri seperti Kuala Lumpur, Perak, Johor, Sarawak, Sabah, Selangor dan Kedah dalam mempromosikan destinasi, sekali gus memberi dorongan kepada VM 2026 yang lebih besar.