Tiada Titah Tahanan Rumah Untuk Najib – Saifuddin

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa Jabatan Penjara Malaysia tidak menerima apa-apa titah tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong agar Datuk Seri Najib Razak dikenakan tahanan rumah.

Dalam satu sidang media di pejabatnya, Saifuddin sebaliknya berkata, berdasarkan kepada surat yang ada kepada Jabatan Penjara menunjukkan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Sultan Pahang) hanya menyebut berkaitan pengurangan hukuman dan denda.


“Tidak ada yang menyebut tentang tahanan rumah,” katanya di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini.


Untuk rekod, Jabatan Penjara bersidang pada 29 Januari 2024. Pada 2 Februari 2024, Jabatan Penjara menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, surat tersebut tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.

“Oleh itu, Jabatan Penjara hanya melaksanakan apa yang terkandung dalam perintah tersebut.

“Adalah penting untuk menjelaskan bahawa KDN dan Jabatan Penjara tidak menyembunyikan sebarang keputusan Lembaga Pengampunan atau gagal mematuhinya. Kami hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi, seperti yang diterima,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi menjawab tuduhan di mahkamah dalam hujah peguam Najib, Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah yang mendakwa KDN tidak melaksanakan keputusan berkaitan tahanan rumah, Saifuddin merujuk kepada dokumen rasmi yang diterima oleh KDN, tidak ada arahan mengenai tahanan rumah.

“Apa yang kami terima hanyalah arahan untuk mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda.

“Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rahsia besar, tetapi saya boleh mengesahkan bahawa ia tidak mengandungi apa-apa tentang tahanan rumah,”katanya.

Tegasnya, pihak AGC yang turut hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga menyatakan perkara yang sama di mahkamah.

Menurut Saifuddin lagi, dalam surat itu hanya menyebut dua keputusan utama iaitu tempoh pemenjaraan Najib dikurangkan sehingga 23 Ogos 2028.

Manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta dengan syarat sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara ditambah setahun sehingga 23 Ogos 2029.

Saifuddin juga berharap dengan penjelasan ini, menunjukkan bahawa KDN telah melaksanakan sepenuhnya titah Tuanku seperti yang diarahkan melalui perintah rasmi Lembaga Pengampunan.

Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar.

Anda Mungkin Berminat