KDN ikut prosedur, hormati arahan Lembaga Pengampunan berhubung Titah Adendum

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegaskan bahawa kerajaan hanya melaksanakan arahan Lembaga Pengampunan mengikut prosedur dokumen yang diterima yang menyatakan tiada tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kenyataan ini dibuat bagi membidas dakwaan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menghormati Titah Adendum yang dipercayai dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Perintah pembebasan itu, mereka ikut prosedur, maka apa saja dokumen yang diterima, mereka laksanakan berlandaskan undang-undang.

“Sebarang perkara berkait arahan itu terbit daripada prosiding Lembaga Pengampunan berdasarkan Perlembagaan Perkara 42.

“Jadi hal yang lebih terperinci akan dibicarakan di mahkamah dan kita serah kepada proses berkenaan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Semalam, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau berkata, surat bertarikh 4 Januari lalu itu dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Anda Mungkin Berminat