Oleh: Hanim Nadia
JOHOR BAHRU: Seorang peniaga gerai makanan ditahan kerana dipercayai membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X pada Selasa minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, polis menahan lelaki berusia 55 tahun itu susulan laporan yang diterima berkenaan hantaran tersebut.
“Telefon bimbit milik tertuduh yang dipercayai digunakan untuk mengakses aplikasi X dan memuat naik hantaran berkenaan turut dirampas.
“Polis Johor mengesahkan menerima laporan, seterusnya menyiasat kes hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan oleh pemilik serta pengendali akaun X Bitz @ zatocent.
“Hantaran itu dipercayai dibuat pada 29 Disember lalu dan boleh diakses menerusi pautan https://x.com/zatocent/status/1873123178996011382?s=48.
“Oleh itu, keesokannya pada 30 Disember, polis menahan warga emas terbabit dengan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, tertuduh disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan penerbitan menghasut.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.
“Tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
“Polis Johor memandang serius serta memberi amaran tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen 3R yang membabitkan raja, agama dan kaum di platform media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.
Baca juga: