Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengakui bahawa titah adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih dalam proses yang tidak dapat dijangkakan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan rakyat terhadap kesahihan titah tersebut.
“Kita masih menunggu keputusan Peguam Negara (untuk) memfailkan kes maka kita tunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Maka akan ada perbahasan. Masih terlalu (awal) memberikan ‘what next’? Cuma boleh jangka akan ada rayuan dan akhirnya baru akan buat keputusan,” katanya ketika bersama program Bernama Radio, hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa dakwaan yang dilontarkan oleh masyarakat, terutama pembangkang, tidak wajar dilakukan kerajaan kerana secara rasminya, tidak diketahui kewujudan titah tersebut.
Beliau berkata, bahawa Yang Dipertua Agung memiliki kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan, iaitu hanya memberikan pengampunan sahaja.
“Dalam kes Datuk Seri Najib, Lembaga Pengampunan bersidang pada 29 Januari 2024 dan selesai bersidang pada 2 Februari dengan Najib diberi pengurangan tempoh hukuman.
“Namun, tidak dinyatakan mengenai tahanan rumah dan hanya pengurangan tempoh sahaja,” jelasnya.
Shamsul berkata, beliau hanya menantikan penilaian yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika itu (kini Sultan Pahang) terhadap titah Adendum.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Susulan itu, Najib telah membuat rayuan permohonan untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Baca juga: