PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Technology Inc. (Micron), Datuk Sanjay Mehrotra.
Untuk rekod, katanya, Micron merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dan merupakan peneraju dalam penyelesaian memori inovatif yang mengubah cara dunia menggunakan maklumat.
Dalam satu hantaran di Facebook, dalam pertemuan tersebut, Anwar berkata, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai keperluan utama dalam pembangunan industri semikonduktor di Malaysia.
“Turut disentuh adalah kepentingan pembangunan bakat tempatan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kelancaran operasi kilang-kilang berteknologi tinggi di Malaysia.
“Saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi oleh pelabur.
“Malaysia kini berada dalam kedudukan amat strategik dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan global,” katanya.
Tambahnya lagi, usaha giat dilaksanakan seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional untuk mengukuhkan daya tarikan negara dalam pelbagai sektor ekonomi.