Pelajar UTP ‘rembat’ Kawasaki 636 di malam ulang tahun pempengaruh

Oleh: Fazleen Safina

UMUMNYA, individu yang menyambut ulang tahun kelahiran akan menerima hadiah atau khabar baik yang sudah pasti membuatnya teruja.

Namun, lain pula situasi berlaku kepada personaliti media sosial, Sharina Richie yang kehilangan motosikal berjenama ketika malam hari kelahirannya ke-21 pada Selasa lalu.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, Sharina yang terkenal dengan sukan permotoran lasak berkata, perkara itu bermula apabila salah seorang pekerjanya meminta untuk meminjam motosikal jenama Kawasaki 636.

Menurut Sharina, permintaan itu sebaliknya tidak ditunaikan meskipun dirayu beberapa kali berikutan lelaki tersebut tidak memiliki lesen.

“Lelaki ini bekerja dengan saya tidak sampai tempoh sebulan dan merupakan pelajar UTP (Universiti Teknologi Petronas).

“Resume memang impressive (mengagumkan) tetapi datang nak ‘rembat’ motosikal saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sharina sempat berkongsi video memaparkan kejadian ketika lelaki itu membawa motosikal tersebut keluar dari sebuah bangunan yang dipercayai berada di Gopeng, Perak.

Berdasarkan video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada jam 3.59 pagi Selasa lalu, lelaki yang dilihat berjaket hijau dan berseluar hitam itu pada mulanya memarkir motosikal berkenaan di luar premis.

Dia yang memakai topi keledar hitam itu juga sempat dilihat memasuki semula premis untuk menutup pagar utama sebelum keluar semula dan berlalu pergi.

Menurut Sharina, lelaki itu bukan sahaja mencuri motosikal, malah helmet jenama KYT miliknya turut menjadi sasaran.

Motosikal kemalangan, aksesori ditukar

Meskipun motosikal itu sudah pun ditemukan selepas beberapa hari, namun wanita tersebut kecewa kerana kenderaan berkenaan mengalami kerosakan akibat kemalangan.

Lebih malang lagi, beberapa aksesori motosikal itu sudah pun ditukar.

Dalam hantaran video berasingan, motosikal itu dilihat calar dan rosak di beberapa bahagian, manakala kedua-dua tayar kenderaan tersebut didapati sudah ditukar dengan tayar yang tidak berkualiti.

“Saya tidak tahu ke mana pergi barang (aksesori) original. Saya bersyukur apabila motosikal sudah dijumpai. Allah uji saya lain macam ketika hari jadi. Saya sudah buat laporan polis dan saya juga sudah ada salinan kad pengenalan dan pasportnya (suspek).

“Oleh itu, saya akan teruskan dengan tuntutan mahkamah. Budak UTP curi motosikal Kawasaki 636, kemalangan, salin barang (tukar aksesori).

“Terima kasih beri hadiah birthday (hari jadi) macam ini dekat saya. Sekarang saya nak bagi hadiah balik dekat awak ya,” sindirnya.

Anda Mungkin Berminat