PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penyaluran bantuan sebanyak RM20.16 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina.
“Saya umumkan penyaluran bantuan kepada 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina sebanyak RM20.16 juta dan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin.
“Bantuan ini bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan di sekolah-sekolah demi generasi akan datang,” katanya.
Anwar kembali ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin hari ini dan mengimbau kenangan menjadi guru sandaran Bahasa Melayu di sana.
Beliau sempat menyanyikan lagu sekolah bersama warga sekolah, menunjukkan bahawa beliau masih menghafal rangkap pertama liriknya.
Dalam ucaptama, Anwar menyentuh tentang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan perkembangan industri teknologi hijau di rantau ini.
“Saya mahu pelajar dan anak-anak untuk tidak terus ketinggalan dan mesti berusaha lebih gigih merangkul peluang yang wujud dalam meneroka pelbagai disiplin dan industri yang kini menjadi tuntutan zaman,” katanya.
Anwar juga menekankan pentingnya penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, sambil meraikan kepelbagaian kaum, agama dan bahasa di Malaysia sebagai sumber perpaduan.
Beliau turut mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua yang hadir.